Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Saturday, April 23, 2016

PENGENALAN KEPADA FRANCAIS

1.0       PENGENALAN

Perniagaan francais adalah salah satu jenis perniagaan yang terdapat di Malaysia. Perniagaan francais pada asalnya berasal dari negara barat dan berkembang ke seluruh dunia termasuk di Malaysia. Industri perniagaan francais ini sangat membantu dalam menaikkan taraf ekonomi Malaysia dan ini dapat dilihat pada jenama-jenama yang terdapat di Malaysia seperti perniagaan makanan yang terkenal iaitu  McDonald dan Secret Recipe.

Perniagaan francais boleh dikatakan mudah kerana usahawan yang ingin memulakan perniagaan hanya perlu mendapatkan kebenaran iaitu lesen francais dari pemilik francais. Usahawan yang memohon akan mendapat kebenaran dan hak dagangan untuk menjalankan perniagaan dengan menggunakan nama perniagaan francais yang dipilih tetapi terikat dengan syarat-syarat dan peraturan dari pihak pemilik francais. Terdapat satu terma yang sangat sinonim dengan perniagaan francais iaitu francaisor dan francaisi. Francaisor bermaksud pemilik perniagaan manakala francaisi pula bermaksud usahawan yang mahu menjalankan perniagaan francais.

Walaupun usahawan menjalankan perniagaan francais, iaitu dengan menjalankan perniagaan yang sudah terkenal seperti McDonald namun terdapat kebaikan dan keburukan serta pelbagai halangan dalam menjalankan perniagaan. Antara masalah yang dihadapi contohnya jika imej syarikat francais itu tercalar, maka seluruh perniagaan francais akan menerima tempias akibat imej syarikat yang rosak.

2.0       SEJARAH FRANCAIS

Francais telah bermula berabad lamanya dari Eropah. Perniagaan berbentuk francais dimulakan oleh Isaac M. Singer (1850) yang ingin memasarkan produk mesin jahit tetapi mempunyai kekurangan dari segi kewangan untuk memasarkan mesin jahit beliau ke tempat yang lebih jauh. Maka, Singer telah membuat satu cas ke atas lesen yang ditawarkan beliau kepada mereka yang ingin menjual produk dari Singer. Sebagai balasan bayaran, mereka mendapat lesen menjual sekaligus mendapat latihan bagaimana menggunakan mesin jahit Singer yang mana membuatkan mesin jahit Singer menjadi terkenal ke seluruh dunia.

Setelah Singer membuat sistem perniagaan tersebut, maka wujud satu perniagaan yang dinamakan perniagaan francais yang berkonsepkan kepada perlesenan jenama kepada peniaga yang lain supaya menjalankan perniagaan menggunakan jenama tersebut. Perniagaan francais kemudiannya menjadi perkara yang penting dalam menjana ekonomi kerana sistem perniagaan ini mudah untuk dilaksanakan dan berkembang.

Kemudiannya perniagaan francais digunapakai oleh Ray Kroc (1954) yang menjadi agen McDonald. Ray Kroc mula mencari francaisi sekitar Chicago. Akhirnya pada tahun 1988, McDonald telah mempunyai 10,000 restoran dan kini 30,000 restoran di seluruh dunia. Perkara ini dijelaskan dalam History Of Franchising,dipetik dari Merriam – Webster’s Dictionary Of Law, (1996) Merriam-Webster

3.0    KEPENTINGAN FRANCAIS KEPADA EKONOMI

Perniagaaan francais telah menjadi perkara yang penting dalam menjana sistem ekonomi negara dan dunia. Di dalam Franchise Business Economic Outlook for 2015, IHS Economics menyatakan bahawa terdapat peningkatan dalam aktiviti perniagaan francais meramalkan bahawa peningkatan kepada 2.8% pada tahun 2014 berbanding 2.3% pada tahun 2013. Ini dapat dilihat pada peningkatan pada pengeluaran perniagaan francais serta pertambahan cawangan – cawangan francais pada tahun 2014.



Menurut IHS Economics lagi, mereka menjangkakan peningkatan pada tahun 2015 berdasarkan kepada beberapa faktor iaitu :

·         Jangkaan perniagaan francais akan bertambah sebanyak 1.6% pada 2015.
·         Pertambahan francaisi pada 2015 meningkat kepada 2.9%.
·         Peningkatan pengeluaran output kepada 5.4% akibat pertambahan sektor francais.
·         GDP mensasarkan peningkatan kepada 5.1% iaitu $ 521 billion.

 Berikut adalah carta ramalan perniagaan francais kepada ekonomi Amerika Syarikat pada Januari 2015.
Sumber : Franchise Business Economic Outlook for 2015, IHS Economics

Sumber : Franchise Business Economic Outlook for 2015, IHS Economics

 
Menurut kepada carta diatas, kita dapat merumuskan disini bahawa perniagaan francais adalah satu sumber yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi dengan peningkatan hasil pengeluaran yang tinggi disamping membuka banyak peluang pekerjaan. Sebagai contoh perniagaan restoran - restoran francais yang banyak terbina diseluruh negara pastinya memerlukan tenaga kerja yang ramai. Disamping meningkatkan pendapatan negara, pendapatan isi rumah juga bertambah dan membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Di dalam carta di atas juga kita dapat lihat pertambahan tenaga kerja setiap tahun dalam perniagaan francais.

 4.0    PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA

Jadual : KRA dan KPI Industri Francais Di Malaysia sehingga 2020

Berdasarkan kepada jadual di atas, PIPFN telah menjelaskan Bidang Keberhasilan Utama (KRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam membangunkan industri francais di Malaysia. Malaysia adalah sebuah negara yang maju seiring dengan negara – negara luar yang berkembang dalam ekonomi dunia. Malaysia juga tidak ketinggalan dalam peningkatan ekonomi yang melibatkan perniagaan francais. Menurut Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN) 2012 – 2016 , Malaysia menunjukkan peningkatan setiap tahun dalam perniagaan francais. Ianya seiring dengan misi PIPFN iaitu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan masyarakat berpendapatan tinggi. PIPFN juga telah menetapkan visi di dalam perniagaan francais iaitu untuk menjadi pusat francais bagi pasaran Asia Tenggara dan Timur Tengah.

“ Bilangan francaisor di Malaysia dianggarkan meningkat daripada 492 (2010) kepada 1,140 (2020), mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Malaysia dan juga menyumbang bahagian yang lebih besar kepada KDNK Malaysia ...” (PIPFN ,  
Hal ini jelas menunjukkan bahawa perniagaan francais di Malaysia kian pesat membangun dan membawa perubahan yang sangat besar kepada ekonomi Malaysia dan sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan yang dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat di Malaysia. Apabila semakin ramai usahawan dalam perniagaan francais di Malaysia yang menjadi francaisor dan francaisi di dalam bidang – bidang dan sektor tertentu seperti industri makanan dan pakaian, maka peningkatan taraf hidup rakyat Malaysia akan menjadi bertambah baik dengan peningkatan ekonomi negara dan masyarakat.  

Namun begitu, jika dibandingkan dengan beberapa negara yang membangun,industri francais Malaysia masih berada pada tahap yang rendah. Hanya terdapat sedikit perbezaan pada sumbangan industri francais kepada KDNK Malaysia berbanding Singapura. Malaysia mencatatkan peratusan lebih tinggi dalam sumbangan industri francais kepada KDNK.



5.0    CABARAN / HALANGAN KEPADA INDUSTRI FRANCAIS

Walaubagaimanapun, industri francais masih berada pada peringkat awal dan mempunyai kelemahan.  Antara faktor yang meyebabkan kelemahan kepada industri francais di Malaysia adalah :

a.    Jenama francais tidak diiktiraf kerana kelemahan dari segi strategi pemasaran.
b.    Kurang menitikberatkan permintaan dan keperluan pengguna.
c.    Kurang infrastruktur untuk menyokong bilangan outlet yang semakin bertambah.
d.    Pengurusan yang tidak mempunyai pengalaman atau kelayakan.
e.    Kurang persefahaman antara francaisi dan francaisor.
f.     Kurang galakan dari segi latihan dan pendidikan tentang pemfrancaisan.
g.    Akses kepada pembiayaan dari institusi kewangan untuk menjalankan perniagaan.
h.    Pendedahan awal tentang konsep francais di pusat pengajian tinggi (IPT)

Faktor – faktor diatas telah membawa kegagalan kepada usahawan yang menceburi bidang perniagaan francais kerana kurang jelas tentang konsep francais dengan sepenuhnya.

5.1    Kurang Persefahaman

Masalah kurang persefahaman antara pihak francaisi dengan pihak francaisor boleh menyebabkan perniagaan terganggu atau lebih buruk lagi perniagaan terpaksa ditutup. Antara faktor yang menyebabkan berlakunya kurang persefahaman dari sudut pandangan francaisor adalah mereka melihat francaisi kurang komitmen dan kurang melibatkan diri dalam perniagaan seperti “hangat-hangat tahi ayam”. Mereka juga mengatakan bahawa francaisi tidak mematuhi standard perniagaan yang telah ditetapkan oleh francaisor dan juga menjual barang yang tidak dibenarkan. Secara tidak langsung, francaisi gagal mematuhi syarat-syarat perjanjian francais yang telah dipersetujui sebelum ini.

Dari sudut pandangan francaisi pula, mereka mengatakan bahawa pihak francaisor tidak memainkan peranan sebenar seperti tiada sistem sokongan francais yang kukuh dan terbukti berkesan  sebagai contoh mengadakan lawatan-lawatan tertentu untuk menyokong francaisi. Penjenamaan yang lemah juga berlaku apabila francaisor tertentu tiada komitmen untuk membuat pengiklanan dan promosi. Sesetengah francaisi pula menganggap francaisor hanya berminat terhadap fi pendahuluan francais yang diterima tanpa membimbing francaisi dengan latihan dan sokongan yang berterusan. Mereka tidak menunjukkan ciri-ciri francais yang berjaya dan hanya bergantung kepada sokongan kerajaan untuk mendapatkan bantuan subsidi.

6.0    PENUTUP

Perniagaan francais di Malaysia mempunyai masa depan yang amat cerah dalam membantu sektor ekonomi Malaysia. Ini disebabkan oleh perniagaan francais mempunyai ruang yang sangat besar di dalam dan luar negara. Usahawan – usahawan di Malaysia dapat memperkenalkan dan memasarkan produk dalam skop yang amat luas.

Dengan perniagaan francais juga usahawan francais secara tidak langsung telah mewujudkan peluang-peluang pekerjaan khususnya di Malaysia dan di luar negara amnya. Ini sekaligus menaikkan taraf hidup masyarakat dan meningkatkan ekonomi dan pendapatan negara. Kerajaan juga telah memandang serius terhadap perniagaan francais malah Malaysia mempunyai Akta Francais 1998 bagi mengukuhkan industri francais di Malaysia.

 7.0    RUJUKAN


Jenny Imanina Lanong Abdullah : PIPFN Bantu Bangunkan Industri Francais Malaysia

Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional
www.kpdnkk.gov.my/kpdnkkv3/.../PIPFNBM.pdf ( Capaian Internet 1 Mac 2016)

History of Franchising Merriam-Webster's Dictionary of Law, ©1996 Merriam-Webster, Inc.

Kepentingan Industri Francais
( Capaian Internet 1 Mac 2016)